Imej menunjukkan persekitaran pembinaan laluan masuk separuh siap ke Institut Teknologi MARA (ITM) Cawangan Johor Kampus Segamat pada pembinaan peringkat awal yang menghubungkan laluan masuk ITM Kampus Segamat dan lebuhraya KM 12, Jalan Muar. Pembinaan ini melibatkan jalan dua lorong dua hala dan merentasi kawasan hutan tebal.
Pada peringkat awal pembinaan, ia melibatkan tapak asas terdiri daripada cerucuk keping, cerucuk besi, kayu dan konkrit bagi menampung beban struktur jalan. Boleh dilihat pada sudut kanan gambar, terdapat deretan pembatas jalan plastik yang diletakkan sepanjang pembinaan dan juga terdapat sebuah pondok tinggal sementara bagi pekerja buruh yang terlibat pada ketika itu. Dari sudut kiri gambar juga, dapat dilihat ruang kecil yang menempatkan alatan dan bahan mentah untuk kegunaan pembinaan.
Imej papan tanda keterangan projek oleh Jabatan Kerja Raya Malaysia. Papan keterangan ini dipacak di tapak kampus tetap sebagai keterangan kepada projek mereka bentuk, membina, menyiapkan dan melancarkan kampus tetap ITM Segamat yang terletak di KM12 Jalan Muar, Segamat, Johor. Projek membina ITM Cawangan Johor ini diuruskan oleh Pengarah Unit Pelaksanaan Projek Turnkey, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya Malaysia manakala kontraktok yang dilantik adalah Kuari Indera Development and Construction SDN. BHD.
Imej pintu masuk ke Asrama Temenggong Abdul Rahman yang terletak di Bukit Siput, Segamat, Johor pada tahun 1983. Asrama ini dimiliki oleh UiTM Segamat ataupun dikenali sebagai Institut Teknologi MARA (ITM) pada waktu itu.