14 Oktober 1967 – Pada tahun 1967, Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak bin Hussein telah meletakkan batu asas pembinaan kampus Institut Teknologi Mara (ITM). Pembinaan kampus ini diperlukan kerana negara mengalami kekurangan pekerja terlatih di tahap profesional dan separa profesional di kalangan Bumiputera. Bagi mengatasi masalah ini, Kerajaan meluluskan sebidang tanah seluas 300 ekar di Shah Alam untuk dijadikan tapak bagi Maktab Mara. Sejarah ITM bermula pada tahun 1956 dengan penubuhan Dewan Latihan RIDA, sebuah pusat percubaan yang menyediakan kursus persediaan bagi belia luar bandar. Dewan Latihan RIDA ini diilhamkan oleh Datuk Onn bin Jaafar, ekoran lawatan beliau ke Ceylon pada tahun 1950 untuk mengkaji program pembangunan luar bandar di negara tersebut. Hasil dari lawatan itu, kertas kerja dibentangkan kepada Majlis Lembaga Kemajuan Kampung dan Perusahaan atau RIDA (The Rural and Industrial Development Authority).