Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al- Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullai yang merupakan Yang di-Pertuan Agong Malaysia ketika itu dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Fauziah Al-Marhum Tengku Abdul Rashid telah berangkat ke Majlis Perasmian Dataran Tuanku Canselor UiTM Perlis bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun ke-30 UiTM Perlis. Keberangkatan baginda telah disambut oleh Menteri Besar Perlis, YAB Dato' Seri Shahidan Kassim, Naib Canselor UiTM, Y Bhg Dato' Seri Prof Dr Ibrahim Abu Shah dan Pengarah Kampus UiTM Perlis, Prof Madya Dr Ahmad Redzuan Abd Rahman.
Turut berangkat ke majlis ini adalah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Perlis. Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah. beberapa orang kenamaan (VIP), ahli-ahli korporat, dekan-dekan fakulti dan pensyarah-pensyarah UiTM.
Majlis Perasmian ini telah berlangsung di hadapan Bangunan Pentadbiran UiTM Perlis. Dengan pembinaan dan perasmian dataran ini sekaligus telah merealisasikan ilham Pengarah Kampus UiTM Perlis ketika itu, Prof Madya Dr Ahmad Redzuan Abd Rahman, untuk menjadikan Dataran Tuanku Canselor ini sebagai mercu tanda UiTM Perlis dan juga menjadi tempat tumpuan aktiviti pelajar serta kakitangan UiTM Perlis.
Pada 14 Oktober 1967, Tun Abdul Razak bin Hussein iaitu Timbalan Perdana Menteri ketika itu telah meletak batu asas bagi pembinaan Kampus Institut Teknologi Mara (ITM). Pembinaan ini bagi menyelesaikan masalah negara ketika itu iaitu kekurangan kaki tangan pekerja terlatih di tahap profesional dan separa profesional di kalangan Bumiputera. Sehubungan dengan itu, kerajaan meluluskan seluas 300 ekar tanah di Shah Alam, Selangor. Sejarah ITM ini bermula pada tahun 1956 dengan tertubuhnya Dewan Latihan RIDA. Pada Jun 1956, Dewan Latihan RIDA ditukarkan nama kepada Maktab MARA (Majlis Amanah Rakyat dan kemudiannya ditukarkan nama kepada Institut Teknologi MARA (ITM) pada tarikh 14 Oktober 1967.