Pada Majlis Penamaan Perpustakaan ITM Cawangan Perlis ini telah berlangsung pada tahun 1985. Pengerusi Majlis ITM ketika itu iaitu Dato' Jaafar bin Othman telah mengisytiharkan serta menamakan bangunan perpustakaan ini sebagai Perpustaakan Dato' Jaafar Hassan. Sebagai tanda bagi mengenang jasa dan bakti Y.A.B Dato' Jaafar bin Hassan, bekas Menteri Besar Perlis kerana menjadi tunggak dan penggerak utama kepada penubuhan ITM Cawangan Perlis ini.
Kongres Ekonomi Bumiputera Pertama yang berlangsung dari 5 hingga 7 Jun 1965 telah memberi peluang perbincangan dan penyuaraan pendapat tentang masalah sosio-ekonomi orang-orang Melayu. Kongres ini mencadangkan bahawa nama RIDA diganti dengan nama baru iaitu Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk memperkuatkan lagi peranan dalam pembangunan ekonomi dan sosial masyarakat Bumiputera di Malaysia.
Pengarah Pertama Institut Teknologi MARA (ITM), Arshad Ayud (Tan Sri) memberi taklimat kepada para pensyarah, di Dewan Kuliah Bangunan Menara, ITM Shah Alam, 1970-an
UiTM Cawangan Terengganu merupakan antara salah satu cawangan UiTM yang mempunyai sebuah unit khas untuk mengurus rekod dan arkib serta memelihara dan memulihara artifak bersejarah universiti. Unit Rekod dan Arkib ini mula ditubuhkan pada tahun 1975 di UiTM Cawangan Terengganu. Di awal penubuhan, Unit Rekod dan Arkib ini pada mulanya dipertanggungjawabkan di bawah bidang kuasa pengurusan Bahagian Pentadbiran, UiTM Cawangan Terengganu. Pada awal tahun 2015, Pejabat Pendaftar telah membuat penstrukturan semula jabatan di mana fungsi Bahagian Arkib diletakkan di bawah tanggungjawab pengurusan Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR).
Kampus pertama terletak di Bukit Siput dan telah dirasmikan pembukaannya oleh Dato’ Abd. Ajib bin Ahmad, Menteri Besar Johor pada ketika itu. Imej menunjukkan sejarah awal pembukaan ITM Cawangan Johor Kampus Segamat di kampus sementara melibatkan deretan rumah kedai yang merupakan lokasi bangunan Institut Teknologi MARA pada tahun 1983 hingga 1985. Pada ketika ini bangunan rumah kedai ini mempunyai dua tingkat dimana kelas dan setiap unit pentadbiran berada di satu bangunan.
Institut Teknologi MARA (ITM) Cawangan Melaka ditubuhkan pada tarikh 12 Ogos 1984 yang mempunyai 5 orang pensyarah dan kira-kira seramai 158 orang pelajar. Bangunan utama iaitu bangunan Pentadbiran yang mempunyai 2 tingkat. Selain itu, perpustakaan dan kelas berkongsi satu bangunan yang sama. Perpustakaan pada ketika itu mempunyai penghawa dingin dan berada di tingkat 1. Manakala, kelas pelajar berada di tingkat bawah dan tingkat 2. Selain itu, di tingkat bawah juga mempunyai dewan serbaguna yang boleh digunakan bagi majlis-majlis penting dan istimewa.
Pengarah Institut Teknologi MARA, Encik Arshad Ayub sedang berucap sempena lawatan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar, Y.A.B. Tun Abdul Razak Dato’ Hussein ke tapak Institut Teknologi MARA, Batu Tiga, Jalan Klang pada 11 Februari 1969. Lawatan ini bertujuan untuk melihat perkembangan pembinaan dan persiapan ITM. Semasa lawatan, Tun Abdul Razak juga diberikan taklimat mengenai pembangunan fizikal dan rancangan masa depan ITM.
Antara bangunan terawal di Shah Alam ialah Menara Sultan Abdul Aziz UiTM. Yang anehnya ialah bangunan itu telah digunakan walaupun penyiapan tingkat empat masih berlangsung. Bangunan untuk bidang seperti sains, seni dan sains aplikasi masih dalam pembinaan. Pada masa itu, menara ini sudah kelihatan dari Batu Tiga, dengan Teater Kuliah berbentuk piring terbang di sebelahnya, yang berfungsi sebagai mercu tanda Shah Alam. Pada masa itu, deretan rumah teres hanya terdapat di Seksyen 2 dan Bandar Sungai Renggam, Seksyen 16.
Ketibaan Y.A.B. Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar, Tun Abdul Razak Dato’ Hussein yang diiringi oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat, Encik Ghafar Baba, disambut meriah oleh para pelajar di dalam Majlis Perletakan Batu Asas dan Pengisytiharaan ITM di Batu Tiga, Jalan Klang, Selangor pada 14 Oktober 1967. Perletakan Batu Asas Institut Teknologi MARA (ITM) di Batu Tiga telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar, Y.A.B. Tun Abdul Razak Dato’ Hussein dan disaksikan oleh Pengarah Maktab MARA, Encik Arshad Ayub pada 14 Oktober 1967.